Monday, July 30, 2007

CIVIL SOCIETY

MASYARAKAT SIVIL DAN PROSES PENDEMOKRASIAN POLITIK MALAYSIA




Masyarakat sivil atau civil society mulai penting dan hangat diperdebatkan selepas era 70-an. Perbincangan yang melibatkan masyarakat sivil adalah berkaitan soal sosiopolitik terutamanya dalam proses pendemokrsian sistem pemerintahan sesebuah negara. Dalam dunia hari ini, dimana didominasi oleh ideologi demokrasi yang mendokong pemerintahan oleh rakyat dan berdasarkan kuasa rakyat, peranan masyarakat sivil dilihat semakin terbuka bagi menyertai proses partisipasi dalam pelbagai lapangan yang menyentuh soal kehidupan samaada politik, ekonomi, sosial, perundangan dan sebagainya.


Untuk memahami masyarakat sivil terdapat dua aliran pemikiran utama yang mendasari idea of civil society iaitu berdasarkan tradisi pemikiran Pluralis dan tradisi pemikiran Marxis. Tradisi fahaman pluralism dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Adam Furguson, Adam Smith, Francis hutcheson dan Alexis de Tocqueville manakala Tradisi fahaman Marxis pula dipegang oleh Antonio Gramsci, Jack Kuron dan Adam Michnik. Pandangan pluralis menyifatkan civil society sebagai kesatuan sosial yang dibentuk bagi kepentingan khusus anggota masyarakat iaitu bagi menjaga kepentingan kelompok tertentu daripada ditindas seperti pembentukan kesatuan-kesatuan pengguna, pekerja, wanita, alam sekitar dan sebagainya yang menjaga kepentinggan umum anggotanya. Oleh yang demikian, masyarakat sivil tradisi pluralis adalah menonjolkan peranan sivil dalam memperbaiki sistem tanpa mengubah struktur sistem tersebut yang turut berfungsi sebagai pemantau dan bebas daripada pengaruh pemerintah. Dalam konteks Marxis, civil society, merupakan satu kesatuan yang bertindak sebagai lawan kepada pemerintah dimana dalam konteks ini kesatuan sivil adalah bebas dari pengaruh pemerintah dan berpotensi bersedia untuk memobilisasi penentangan politik terhadap pemerintahan yang bersifat oligarki atau tirani.



Oleh yang demikian berdasarkan kedua-dua aliran pemikiran ini, kita boleh merumuskan bahawa pemahaman konsep masyarakat sivil berdasarkan tradisi pluralis adalah berasaskan kerangka menyemak, memantau dan penegur kepada kesilapan atau kekurangan pemerintah. Manakala, di dalam tradisi Marxis ia adalah bersifat sebaliknya iaitu sebagai penentang, pengubah dan lawan kepada pemerintah. Unsur-unsur persamaan penting yang boleh dilihat wujud di dalam kedua-dua aliran pemikiran tersebut terhadap pandangan masyarakat sivil ialah masyarakat sivil tidak mempunyai matlamat politik, bebas dari pengaruh pemerintah, berotonomi sendiri, kesatuan yang bersifat sukarela dan sebagai penghubung di antara pemerintah dengan golongan massa iaitu dengan rakyat yang menjadi entiti sesebuah negara atau yang diwakili oleh kelompok civil society tersebut.


Dalam konteks Malaysia peranan masyarakat sivil boleh dilihat dengan bermulanya kemunculan kaum muda sebagai organisasi sivil terawal yang berperanan memperjuangkan hal ehwal berkaitan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya berkaitan pemikiran lama yang tidak lagi sesuai diamalkan dengan peredaran situasi semasa yang dipimpin oleh Syed Syeikh Al-Hadi. Seterusnya perkembangan masyarakat sivil ini dapat dilihat dalam era merdeka apabila pemikiran modenisasi barat dan pembaharuan di timur tengah telah mendorong perkembangan ideologi nasionalisme. Perkembangan ini membawa kepada penubuhan kesatuan-kesatuan sivil yang berperanan memberi kesedaran untuk mengerakkan golongan massa seperti pertubuhan Persatuan Anak Melayu Johor, Kedah, Perak dan sebagainya yang akhirnya membentuk gabungan menjadi sebuah parti politik iaitu UMNO (United Malay National Organization). Keadaan yang sama juga berlaku sepertimana pembentukan MCA dan MIC dimana pada asalnya ditubuhkan bagi menjaga kepentingan kaum atau etnik masing-masing. Perkembangan selepas merdeka pula melihat kepada kemunculan pelbagai organisasi pertubuhan sivil seperti ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), JIM, ALIRAN dan lain-lain tetapi masih berada dalam kerangka perkauman.




Dalam soal politik peranan masyarakat sivil dilihat mencapai tahap kemuncak ketika krisis politik Malaysia 1998. Tuntutan sivil berlangsung dengan gerakan-gerakan sivil yang ditunjangi oleh pertubuhan-pertubuhan seperti ALIRAN (Aliran Kesedaran Negara), GERAK (Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia), JIM (Jamaah Islamiah), JUST (International Movement For A Just World), SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) dan sebagainya yang berperanan sebagai agen perubahan dalam memberi kesedaran sosiopolitik kepada rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, perubahan ini hanya bersifat sementara dan keadaan ini adalah berdasarkan isu semasa memandangkan keadaan situasi negara pada ketika itu tidak memihak kepada pemerintah kesan dari kejatuhan ekonomi yang membawa kepada pelbagai skandal. Apabila keadaan telah stabil menjelang tahun 2000 dengan ekonomi yang menunjukkan peningkatan sehingga ke hari ini, masyarakat itu sendiri telah berada pada kedudukan selesa dan ini menunjukkan bahawa gerakan sivil hanya berlaku apabila negara berhadapan dengan situasi-situasi yang tidak dijangka. Selain itu, kerangka gerakan sivil yang bersifat perkauman juga dilihat sebagai punca kegagalan masyarakat sivil memberikan impak dalam isu-isu yang melibatkan ketidakadilan, ketelusan dan pendemokrasian.


fizi_1437@yahoo.com

NASIONALISME DALAM PROSES PEMBINAAN BANGSA


NASIONALISME DALAM PROSES PEMBINAAN BANGSA

Pembinaan bangsa memerlukan ideologi yang mampu menjadi tenaga penggerak yang amat berpengaruh ke arah menyatukan masyarakat yang bersifat pluralistik di Malaysia. Kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersifat majmuk dengan kepelbagaian etnik atau kaum, bahasa, agama dan budaya telah lama terhasil kesan daripada pengaruh kolonialisme yang masuk ke Tanah Melayu serta Sabah dan Sarawak ketika abad ke sembilan belas. Zaman kolonialisme hanya berakhir setelah tamatnya Perang Dunia Kedua dan era penjajahan ini, telah membangkitkan kesedaran baru serta bermulanya satu perjuangan untuk membebaskan negara yang dijajah kepada taraf negara merdeka.

Kebangkitan nasionalisme tempatan di Tanah Melayu selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua yang disertai dengan perubahan organisasi politik telah mencorakkan haluan dan aliran nasionalisme tertentu. Kebangkitan nasionalisme pada ketika itu iaitu awal abad ke dua puluh lebih tertumpu kepada perkembangan ‘Nasionalisme Malaya’ yang mendasari perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada ketika itu, nasionalisme berkembang berasaskan perkauman iaitu nasionalisme Melayu, India dan Cina. Walau bagaimanapun, nasionalisme Melayu dilihat lebih dominan dan berkembang lebih awal untuk menuntut kemerdekaan wilayah sendiri. Manakala nasionalisme India dan Cina pada asalnya adalah cenderung ke arah Tanah Besar China dan India.

Nasionalisme yang berkembang dikalangan etnik Melayu adalah lahir kesan dari pengaruh idea kebebasan dan reformasi yang diketengahkan di Asia Barat. Kolonialisme dan imperialism barat ke atas Tanah Melayu pada ketika itu termasuk di negara-negara lain di Asia Tenggara, Asia Barat dan Afrika telah merintis kepada nasionalisme menuntut kemerdekaan dan hak menentukan nasib sendiri. Nasionalisme juga merintis kepada perjuangan membentuk kerajaan sendiri iaitu pemerintahan diterajui dan berdasarkan aspirasi rakyat tempatan.

Setelah merdeka, pembinaan bangsa merupakan satu unsur yang penting dalam pembinaan negara baru yang ditubuhkan terutamanya bagi Malaysia yang memiliki kepelbagaian kumpulan etnik yang bersifat Plural Societies. Oleh itu, era baru nasionalisme atau ‘Nasionalisme Baru’ adalah penting bertujuan menggerakkan komitmen rakyat untuk membanggun dengan memberi penekanan kepada penyelesaian masalah dan konflik dalaman yang timbul selepas kemerdekaan. Nasionalisme baru bagi negara yang baru merdeka adalah berperanan menanggani agenda pembanggunan negara. Dalam konteks Malaysia, meliputi penekanan ke atas integrasi nasional mencakupi strategi dan dasar penyelesaian konflik hubungan kaum termasuk merapatkan jurang perhubungan di antara kaum, menstabilkan ketidakseimbangan ekonomi meliputi penstrukturan dan reformasi ekonomi negara serta menjalankan pengagihan kekayaan negara secara sama rata, pengukuhan kuasa politik melalui politik permuafakatan, peluang pembanggunan sosial dan pembanggunan infrastruktur yang adil antara wilayah. Agenda-agenda ini merupakan kerangka penting wawasan pembanggunan yang mendasari dasar kerajaan dalam usaha pembinaan bangsa yang membawa kepada kestabilan pembinaan negara.

Proses pembinaan bangsa di Malaysia diperhatikan telah wujud ketika tahum 1970 dan menjadi lebih penting terutamanya selepas tahun 1990-an. Perdebatan pembinaan bangsa menjadi satu isu yang cukup diberi perhatian apabila Mantan Perdana Menteri Malaysia ke empat iaitu Dr Mahathir Mohammad mengemukakan isu pembinaan bangsa Malaysia dalam ucapan beliau pada Majlis Perdaganggan Malaysia pada 28 Febuari 1991 ketika membentangkan kertas kerja beliau bertajuk ‘Malaysia: The Way Foward’. Ucapan ini kemudiannya dikenali sebagai wawasan 2020 yang menyentuh hala tuju masa hadapan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 berdasarkan acuan sendiri. Gagasan ini dilihat selaras dengan sejarah dan perkembangan masa kini iaitu genap 50 tahun kemerdekaan Malaysia pada 31 ogos 2007 untuk menuju ke arah masa hadapan yang lebih bersatu padu. Oleh yang demikian, gagasan ini juga dilihat sebagai jalan keluar bagi mengukuhkan negara melalui pengembangan ‘Nasionalisme Malaysia’ atau ‘Nasionalisme Baru’.
Berlandaskan fakta sejarah dan perkembangan masa kini termasuk dasar-dasar yang digubal oleh parti pemerintah, penulis berpendapat pembentukan bangsa Malaysia sebenarnya telah lama, sedang dan akan terus berlangsung. Pembentukan bangsa Malaysia ini adalah berdasarkan ‘Nasionalisme Malaysia’ yang cuba dibentuk dan diterapkan ke dalam kehidupan warganegara. Keadaan ini kerana pembinaan negara adalah sukar jika entiti di dalam negara iaitu anggota masyarakat yang menjadi warganegaranya berada dalam keadaan rapuh terutamanya Malaysia yang terdiri daripada plural societies. Oleh itu, prinsip menghormati dan menerima kepelbagaian yang menjadi teras perpaduan dalam pelbagai lapangan merupakan kekuatan bangsa Malaysia ke arah zaman sejarah baru pada abad ke dua puluh satu.....